Pandangan saya:
Saya tidak mempunyai apa-apa niat untuk memperkatakan mengenai pembinaan Menara 100 tingkat bangunan Warisan Merdeka kerana tidak tergolong dalam apa jua kepercayaan fahaman politik malah lebih menyokong kerajaan sedia ada demi mempertahankan kedaulatan Negara.
Tetapi saya tetap ingin menyuarakan pendapat dan pandangan kerdil saya yang mungkin boleh dipinggirkan tetapi sebelum diketepikan seharusnya perlu direnungkan sebagai seorang rakyat yang membayar cukai pendapatan dan juga mempunyai taraf kewarganegaraan.
Saya amat bersetuju dengan pandangan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pembinaan bangunan 100 tingkat Warisan Merdeka ditangguhkan bagi memberi kemudahan dan kesejahteraan rakyat dengan membina sesuatu yang difikir amat diperlukan oleh rakyat pada ketika ini dan mungkin amat diperlukan dalam tempoh jangka panjang kira-kira 50 tahun akan datang.
Kenyataan Mantan Perdana Menteri itu dipetik daripada Malaysiakini amat bertepatan sekali dan mungkin mantan tersebut berfikiran terbuka dan mahukan kesejahteraan rakyat didahulukan dan diutamakan
Petikan itu menyatakan , Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa rancangan kerajaan bagi membina bangunan 100 tingkat Warisan Merdeka akan menyaksikan lebihan hartanah dan ruang pejabat yang kini sudah pun melanda Lembah Klang.
Katanya, masa ini, terdapat banyak papan tanda untuk bangunan atau ruang pejabat 'untuk dijual' dan 'untuk disewa' sekiranya bersiar-siar di kota raya, ini memberi petunjuk bahawa banyak bangunan yang masuh terbiar kosong dan berkemungkinan Menara Berkembar Petronas (KLCC) turut terlibat .
Beliau turut mahukan pihak kerajaan merujuk perkara untuk membina menara itu dengan merujuk kepada rakyat kerana rakyat boleh menentukan perlu atau tidak pembinaan tersebut demi kesejahteraan rakyat melalui pandangan masing-masing.
Saya berfikiran , RM 10 Billion untuk membina bangunan itu perlu ditangguhkan buat masa ini dan lebih menumpukan kepada projek yang menjadi nadi dan kesejahteraan rakyat bakal digunakan oleh jutaan manusia akan datang.
Pertama, saya mencadangkan membina lebuh raya yang lebih selesa yang setaraf lebuh raya PLUS untuk semua rakyat daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Bentong, Raub, Kuala Lipis dan seterusnya ke Merapoh, Gua Musang dan ke Kota Bharu.
Setelah disiapkan, mungkin pada fasa seterusnya boleh menyambungkan lebuh raya tersebut dengan Cameron Highlands sebelah barat lebuh raya tersebut kalau diambil contoh jalan negeri sedia ada dan seterusnya ke bahagian barat negeri Terengganu seperti pedalaman negeri itu
Kita kerap mendengar saban tahun selalu berlaku kesesakan dan mengambil masa yang lama daripada perjalanan biasa untuk sampai ke Kota Bahru atau sebaliknya terutama ketika sambutan musim perayaan dan cuti umum yang panjang.
Rakyat bawahan yang mengalami betapa payah dan seksanya kerana menggunakan kenderaan jalan darat yang jarak begitu jauh tetapi tanpa sebarang keselesaan berbanding pengguna lebuh raya Utara-Selatan yang begitu selesa.
Selain itu, kerap berlaku kemalangan maut yang meragut banyak nyawa di jalan tersebut terutama antara Kuala Lipis ke Meropoh dan Gua Musang. Oleh itu perlu dielakkan perkara sebegini berlaku maka jalan raya atau lebuh raya baru dibina terutama bagi menampung kenderaan yang bakal bertambah dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Oleh itu pembinaan itu perlu dimulakan sekarang secara berperingkat agar tidak berlaku masalah yang timbul dalam tempoh terdekat dan jangka panjang yang akan keadaan mendesak dan memerlukan lebih banyak belanja.
Ini memandangkan kini terdapat kira-kira 20 juta kenderaan pada Ogos 2010, bagaimana pada tahun 2020 , 2030 atau 2050 akan datang.
Selain pembinaan lebuh raya dan jalan negeri yang mempunyai jalinan yang baik secara tidak langsung akan menjana ekonomi negeri-negeri terlibat dan juga menaikkan ekonomi seluruh negara.
Perhubungan yang baik akan turut menarik pelabur untuk membuka perniagaan masing-masing dan penempatan baru akan wujud di sepanjang lebuh raya itu dan secara tidak langsung tidak berlaku tumpuan penduduk di kota besar yang sudah ramai dan merosakan sistem sosial.
Kedua, saya mencadangkan perlu membina landasan keretapi laju seperti cadangan dan ura-ura untuk membina landasan keretapi laju dari Kuala Lumpur ke Singapura. Kita sedia maklum di antara Kuala Lumpur ke Singapura sudah banyak pilihan pergerakan manusia sama ada lebuh raya, keretapi dan juga udara, maka kita perlu beralih ke kawasan lain.
Saya mencadangkan landasan keretapi laju dibina antara Kuala Lumpur ke Kuantan yang jaraknya kira-kira 400 kilometer dan bakal dijadikan pengangkutan utama kemudian hari kerana mengambil masa yang singkat.
Landasan ini boleh dinaiktaraf pula kemudian untuk menghubungkan antara Kuantan ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Kota Bharu.
Selain itu, landasan itu juga boleh dihubungkan antara Kuantan ke Pekan (Kawasan Parlimen PM) – Rompin (Datuk Jamaluddin Jarjis) – Mersing – Kota Tinggi dan Johor Bharu.
Secara logistiknya, kita dapat menyuraikan kesesakan setempat yang selama ini bertumpu di Kuala Lumpur, maka siapnya landasan seperti itu akan memberi faedah kepada jutaan rakyat Malaysia dan mudah untuk bergerak dengan cepat dan selamat.
Kita tidak akan dengar lagi berlaku kekalutan penduduk kota untuk pulang ke kampong untuk menyambut hari-hari perayaan kerana terdapat keretapi laju yang canggih dan mengurangkan kesesakan jalan raya pada waktu tertentu
Pandangan saya, pembinaan landasan itu bukan dibina secara sekali gus sebaliknya berperingkat dengan memulakan landasan daripada Kuala Lumpur ke Kuantan dan landasan seterusnya akan dibina kemudian mengikut keperluan.
Untuk mengenang jasa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib, kita namakan landasan keretapi laju tersebut sempena nama beliau dan ini akan diingati sehingga ratusan tahun akan datang berbanding bangunan 100 tingkat yang tidak memberi makna kepada rakyat seluruhnya.
Sebagai kajian ringkas, cuba kita renung kembali siapa yang menggunakan bangunan KLCC itu, adakah digunakan oleh semua rakyat atau sebahagian atau koperat dan konglomerat?
Rakyat hanya ke KLCC untuk melihat betapa tinggi bangunan tertinggi kategori berkembar di dunia dan kemudian dapat merasainya melalui merakamkan foto yang diambil.
Oleh itu, adakah menara 100 tingkat itu akan berlaku seperti KLCC yang hanya menjadi lambang kemegahan dan tidak menjadi lambang kesejahteraan rakyat?
No comments:
Post a Comment